Skip to content

Maruah reformasi tercabar

Thu 2011-Mar-17 @ +08 10:07:52 am


LETTERS
from Aktivis Jalan TAR
by email

MARUAH REFORMASI TERCABAR

Saya amat kesal dengan tindakan musuh-musuh Anwar Ibrahim yang mempolitikkan kes mahkamah yang sedang berlangsung. Beberapa demonstrasi telah dianjurkan di Petaling Jaya, Pulau Pinang dan Ipoh seolah-olah Anwar telah didapati bersalah oleh mahkamah. Walhal, mahkamah hanya menolak bahan-bahan bukti yang diperolehi secara tidak sah.

Sebagai seorang pendokong Reformasi tegar, saya yakin penuh Anwar ialah mangsa konspirasi politik. Pemimpin-pemimpin UMNO gentar dengan Anwar Ibrahim lalu terpaksa memfitnahkan beliau. Mereka berharap dengan menghumban Anwar ke penjara, gerakan Reformasi akan hilang taring.

Justeru itu, saya menyeru kepada Anwar untuk mengambil tindakan tegas supaya serangan-serangan musuh politik ini dapat ditangani. Anwar wajib menyerah sampel DNA untuk membuktikan beliau tidak bersalah. Saya percaya langkah tegas Anwar ini akan membuat musuh-musuh politik beliau mati akal.

Saya berkongsi kebimbangan Anwar yang bahan DNA tersebut mungkin akan dimanipulasikan. Untuk mengelakkan kemungkinan tersebut, saya mencadangkan ujian dan profiling sampel DNA itu dibuat secara profesional dan telus. Jika perlu, Majlis Peguam, Persatuan Perubatan Malaysia dan pakar-pakar genetik antarabangsa yang dilantik oleh Anwar akan menyelia proses tersebut.

Objektif memberi DNA hanya untuk mengenalpasti sama ada DNA lelaki Y yang dijumpai pada tubuh Saiful Bukhari Azlan padan dengan DNA Anwar Ibrahim. Walaupun jika ditakdirkan DNA-DNA itu padan, Anwar masih mempunyai ruang untuk mempertikai bagaimana air mani beliau diletakkan pada tubuh Saiful.

Anwar Ibrahim sebagai seorang pemimpin Anugerah Tuhan pasti prihatin yang serangan-serangan ini bukannya setakat peribadi beliau sahaja malah ditujukan kepada seluruh gerakan Reformasi. Bukan maruah Anwar Ibrahim sahaja yang tercabar tetapi kredibiliti semua Reformis juga tergugat. Anwar Ibrahim harus mengambil langkah berani dan bijak demi keutuhan gerakan Reformasi. LAWAN TETAP LAWAN!!!
AKTIVIS JALAN TAR


Received by email, identity not verified
Advertisements

Comments are closed.

%d bloggers like this: